Bola sepak diminati oleh semua golongan, dari semua peringkat umur. Disana sini orang bermain bola sepak. Sebenarnya tiada bukti kukuh yang menyatakan dari manakah bola sepak berasal. Ini kerana tiada satu pun catatan sejarah yang menyatakan tentang permulaan bola sepak. Terdapat empat negara yang masing-masing mengakui sebagai tempat bermulanya bola sepak. Negara itu ialah Rom Kuno, China, Greece dan Jepun.
Adalah dipercayai perlawanan bola sepak yang pertama ialah di antara China dan Jepun. Catatan ini terdapat di sebuah muzium di Munich yang ditulis oleh Li Ju. Beliau mencatatkan perlawanan itu berlangsung sekitar tahun 1000 sebelum masihi. Orang-orang Jepun dikatakan telah bermain bola sepak pada abad pertama iaitu di Kyoto. Orang-orang Rom dan Greek Kuno pula mengakui bahawa mereka telah bermain bola sepak sekitar tahun 500 sebelum masihi. Selain dari catatan sejarah permulaannya, tidak ada pula catatan tentang bagaimana ia dimainkan.
Menjelang selepas masihi Mexico dan England pula mengakui bahawa bola sepak berasal dari negara mareka. Walau bagaimanapun, pengakuan kedua negara ini tidak disertai dengan bukti yang kukuh. Di England, bola sepak dipercayai dimainkan pada tahun 276 masihi. Pada masa ini, bola sepak dimainkan dengan tiada peraturan, mereka boleh memegang dan membawa lari bola. Pintu gol pula bermacam-macam jenis dan saiz. Akhirnya pada tahun 1846, Universiti Cambridge dan beberapa pusat pengajian tinggi di England telah menggubal undang-undang tentang permainan bola sepak. Walaupun ianya tidak lengkap, tetapi dari sinilah permulaan undang-undang bola sepak yang dapat kita lihat hinggalah ke hari ini. Apabila Persatuan Bola Sepak England ditubuhkan pada tahun 1863 undang-undang bola sepak terus diperkemas dan menjadi undang-undang rasmi bola sepak. Pada tahun 1871, pertandingan Piala Persatuan Bola Sepak England dimulakan. Pada tahun 1885, bola sepak profesional telah dimulakan, pemain dibayar mengikut kebolehan mereka. Perlawanan bola sepak yang pertama bertaraf antarabangsa ialah di antara England dan Scotland tahun 1872 di Glasgow, Scotland.
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah ditubuhkan pada tahun 1904 di Paris. Negara yang bertanggungjawab dalam penubuhan persatuan ini ialah Belgium, Perancis, Belanda, Sepanyol, Sweden dan Switzerland. Selepas perang dunia pertama anggota FIFA melebihi 50 buah negara, dan kini hampir 180 buah negara menjadi ahlinya. Selepas itu bola sepak terus berkembang dan diminati ramai. Pada tahun1930 Pertandingan Piala Dunia diperkenalkan dan ianya terus kekal hingga ke hari ini. Pertandingan ini merupakan salah satu pertandingan yang terungul dalam arena bola sepak.
Bola sepak mula diperkenalkan di Malaysia dalam tahun 1825 oleh askar-askar Inggeris. Bola sepak merupakan satu-satunya permainan pertama dari luar yang dibawa masuk ke negara ini. Pada tahun 1905, Liga Bola Sepak Amatur Selangor ditubuhkan. Stadium pertama yang dibina ialah Stadium Merdeka yang menelan belanja sejuta runggit. Bersempena dengan pembukaan Stadium Merdeka dan sebagai menyambut hari kemerdekaan satu Pesta Bola Merdeka telah diadakan dan ianya terus kekal hingga ke hari ini.